Saturday, June 11, 2011

KASUT ! ! ! !

Sudah seharian di kebun Cikgu Fatin pulang ke rumah untuk berehat. Sampainya dia dirumah, dia ternampak sebuah bungkusan dihadapan pintu rumahnya. Milik siapakah agaknya ? Cikgu Fatin  tertanya sendiri. Dia segera melihat bungkusan tersebut, namanya jelas tertulis pada bungkusan tersebut. Tapi daripada siapa ? Pengirimnya tidak diketahui. Puas Cikgu fatin berfikir, namun masih tidak mengetahui siapa pengirimnya. Didalam bungkusan itu terlihat sepasang baju kurung batik yang sungguh cantik buatannya beserta kasut yang senada dengan baju kurung tersebut. Cikgu Fatin semakin binggung dan membiarkan sahaja bungkusan tersebut.

Hari ini hari guru, andainya aku masih mengajar disekolah, pasti aku jua diraikan bersama-sama anak muridku. Namun, aku puas dengan bakti yang telah ku tabur selama 25 tahun aku berkhidmat. Kawasan sekolah yang terletak dipendalaman ini tidak pernah sekali membuatkanku merungut, keadaan yang serba kekurangan dan kedaifan masih menjadi sinonim dengan keadaan kampung ini.   Macam-macam gelagat dan kerenah murid aku hadapi selama di Sekolah Rendah Kampung Setia. Mengenang kembali peristiwa itu membuatkanku tersenyum sendiri. Setiap kerenah yang aku hadapi ada suka dan dukanya. Bukan pendidik namanya andai aku tak bisa mengawal anak muridku sendiri. Tiba-tiba aku teringatkan bungkusan yang ku terima pagi ini setelah pulang solat subuh di surau berdekatkan rumahku. Kali ini sepasang kasut yang cantik dimuatkan didalam sebuah kotak. Tanpa nama pengirim dan hanya namaku jelas disitu. Aku hairan dengan pengirim ini. Lama aku merenung kasut tersebut membuatkan aku teringat satu peristiwa dalam hidupku. Peristiwa itu kini semakin jelas bermain-main di layar mindaku.

“ Bangun !! Selamat pagi Cikgu !!”

Cikgu Fatin  berdiri dihadapan kelas. Matanya memandang sekeliling kelas darjah 4  itu. Akhirnya, seperti matanya tertumpu pada Hassan. Cikgu Fatin hanya merenung Hassan dari atas ke bawah. Matanya tertumpu pada kaki Hassan. Dengan wajah yang garang bisa menakutkan dan menjadi igauan anak-anak kecil yang rata-rata anak pesawah ataupun nelayan.

“ Hassan, mana kasut ?” tanya Cikgu Fatin dengan suara yang serius. Soalan itu bukan yang pertama, malah sudah kerap ditanya sejak sekolah dibuka beberapa minggu yang lalu.

“ Belum beli, cikgu,”jawab Hassan dengan suara perlahan amat. Seolah-olah tidak kedengaran. Suara anak kecil itu tidak mahu keluar seperti ada yang tersekat di anak tekaknya.

Itulah jawapan yang sering diberikan semenjak soalan itu diajukan kepada dia. Hassan tidak banyak bercakap. Mukanya ditundukkan apabila bercakap dengan orang., terutamanya Cikgu Fatin. Dia tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Fatin.

“ Bila nak beli ?”Tanya Cikgu Fatin. Pertanyaan itu dibiarkan sepi tanpa berjawab. Hassan membatukan diri seperti selalu.

Begitulah setiap pagi sejak beberapa minggu lalu. Sebelum itu Hassan memakai selipar Jepun lusuh ke sekolah. Selepas selipar itu putus, Hassan hanya berkaki ayam. Tidak pernah ada kasut berwarna putih dikakinya.
Sepanjang tiga minggu itu, Cikgu Fatin bertanya soalan yang sama setiap pagi. Baginya Hassan merosakkan keceriaan kelas. Murid lain semuanya berpakaian lengkap. Hanya Hassan tidak. Pada fikiran Cikgu Fatin, jika murid itu miskin pun, mustahil kasut sekolah pun tidak mampu dibeli. Bukannya mahal sangat. Pasti ibubapa Hassan tidak pernah ambil kisah jika Hassan terus tidak berkasut.

Cikgu Fatin bukannya garang sangat namun kerenah Hassan sedikit sebanyak mencetus perasaan kurang senang dalam jiwa mudanya. Dan rasa kurang senang itu, dilepaskan pada Hassan setiap pagi sehingga membuatkan budak hingusan itu termangu-mangu dan tersipu-sipu. Malu barangkali.

Cikgu Fatin bertanyakan soalan yang sama setiap pagi ada tujuannya. Sekurang-kurangnya Hassan mendesak ibubapanya untuk membelikan dia sepasang kasut sekolah. Dia tahu, jika dia tidak ambil kisah perkara ini akan berlarutan. Malahan, anak-anak yang lain akan turut mengambil kesempatan. Anak-anak kampung itu sememangnya lebih selesa berkaki ayam waktu itu. Mereka sudah biasa dengan keadaan sedemikian. Kasut bukanlah satu barang yang penting dalam hidup mereka.

“ Lepas ini kita akan ke padang untuk bersenam.”ujar Cikgu Fatin.

Murid-murid segera menukar pakaian. Cuma Hassan sahaja yang tidak berbuat demikian.
Di padang, semua murid darjah empat itu bermain dengan riang. Semuanya berpakaian sukan yang lengkap. Mata Cikgu Fatin sekali lagi tertumpu pada Hassan. Dia masih memakai kemeja putih lusuh dan seluar biru pudar. Kemarahan Cikgu Fatin tiba-tiba datang semula.  

“ Hassan, mari sini !”panggil Cikgu Fatin segera. Hassan pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.

“ Kenapa tak tukar pakaian ?” Cikgu Fatin terus bertanya. Hassan tidak menjawab. Dia ketakutan. Pasti.

“ Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa ! apa nak jadi dengan kamu ni ?”leter Cikgu Fatin setelah melihat Hassan hanya diam membatu. Mahu sahaja dipukul budak itu sekuat hati. Namun, kesabaran masih tersisa dalam jiwanya. 

“ Saya dah tak tahan dengan kamu. Hari ini saya nak denda kamu !”kata Cikgu Fatin. Dia segera bangun dan mencari sesuatu. Dia ke tepi pagar sekolah. Barangkali mahu mencari ranting pokok di tepi pagar. Jika ada ranting itu, punggung Hassan akan disebatnya kuat-kuat, fikirnya. Ilmu psikologi yang dipelajarinya di Maktab dahulu tidak boleh dipakai ketika berdepan dengan budak seperti itu. Begitu pula fikir Cikgu Fatin. Hassan tetap tercegat dan terkebil-kebil, menanti hukuman guru yang berasal dari Bandar itu.

Tiba-tiba Cikgu Fatin terpandang rumpun pisang merimbun di tepi pagar sekolah. Beberapa tandan pisang terjuntai dicelah-celah rumpun pisang itu. Dibawahnya bertaburan kelopak jantung yang gugur. Besar-besar dan berwarna merah hati. Cikgu Fatin memungut kelopak jantung itu kembali ke tempat Hassan sedang berdiri seperti menanti hukuman gurunya.

“ Pergi cari tali !”arah Cikgu Fatin kepada Hassan. Murid itu tidak berkata apa-apa. Dia terus beredar ke arah kantin sekolah. Sebentar kemudian dia kembali dengan seutas tali rafia berwarna merah.

“ Kamu pakai benda ini. Ikat elok-elok!”Cikgu Fatin memberikan perintah. Jarinya ditunding tepat ke arah kelopak jantung pisang. Hassan memandang kosong ke wajah Cikgu Fatin seperti mahu meminta simpati.

“Cepat !”jerkah Cikgu Fatin apabila melihat Hassan masih tercegat. Kali ini Hassan tidak membantah. Dia mencangkung dengan sebelah kaki dihulurkan ke depan.

Kelopak jantung diacukan ke tapak kakinya yang comot. Kemudian, tali rafia dilalukan dibawah tapak kakinya itu. Kelopak jantung pisang itu kemudian diikat kemas-kemas, melekap sendat pada kaki kematu Hassan. Selepas sebelah, sebelah lagi dipasangkan, seperti memakai kasut sekolah.

“ Jangan buka-buka kasut ini selagi kamu tak beli kasut baru!” Cikgu Fatin memberikan amaran. Ada sedikit perasaan lucu didalam hati Cikgu Fatin melihat anak murid yang tidak dikenali latar belakang itu. Kadang-kadang dilihatnya Hassan seperti lurus bendul. Dia tidak pernah membantah kata-kata guru.  Katalah apa sahaja, dia tetap patuh tanpa banyak soal. Jauh sekali ponteng sekolah. Walaupun berkaki ayam, Hassan tidak pernah ponteng. Itulah kelebihan Hassan. Kegigihannya memang ketara. Cikgu Fatin juga menyedarinya.

Hassan berlalu. Airmatanya mula meleleh, membasahi pipi cengkungnya. Kawan-kawannya mula tertawa melihat kasut barunya itu. Hassan berjalan macam lembu sakit kaki. Dia serba salah. Hendak diangkat muka, dia malu. Semua yang ternampak kakinya pasti tersengih-sengih jika tidak ketawa. Hendak tunduk, ternampak pula kasut barunya yang menyakitkan hati.

Ketika itu terasa kakinya macam kaki gajah yang untut dan tak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, kaki kambing dan kaki tiang rumahnya yang using. Malah, Hassan terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung, kudung kedua-dua belah, kiri dan kanan. Hassan semakin malu memikirkan semua itu. Waktu rehat Hassan tidak keluar. Dia hanya menanti deringan loceng waktu pulang dengan gelisah. Pasti sepanjang jalan nanti semua orang akan melihat kakinya yang berkasut kelopak jantung itu.

Hassan berlari pulang ketika murid-murid lain sudah keluar sekolah. Sekejap pun dia tidak berhenti kerana malu kakinya dilihat orang. Jika berselisih dia akan ke kaki lima jalan atau masuk ke dalam semak rumpun semalu ditepi jalan. Dia sudah biasa meranduk semak begitu. Sakit hatinya kini lebih perit daripada tertusuk duri semalu ditepi jalan. Matanya masih berair, bukan kerana sakit kaki, akan tetapi hatinya yang terhiris.

Esoknya, tempat duduk Hassan kosong. Cikgu Fatin sedar bahawa Hassan tidak datang. Selama ini Hassan tidak pernah ponteng sekolah. Dia akan tetap ke sekolah walaupun terpaksa jalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Hassan tidak datang. Kini, sudah seminggu Hassan tidak bersekolah. Cikgu Fatin berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia cuba mendapatkan maklumat daripada murid-murid yang lain.

“ Dia kata hendak berhenti sekolah, cikgu !”kata salah seorang kawan Hassan. Jawapan itu membuatkan Cikgu Fatin tersentak. Dia mula rasa Hassan berkecil hati. Cikgu fatin tidak menyangka tindakannya telah menyentuh perasaan muridnya itu. Rasa bersalah mula menyerang perasaannya. Dia mula rasa kehilangan Hassan. Niatnya, dia mahu Hassan menjadi seperti murid-murid yang lain di sekolah.

Jika Hassan berhenti sekolah, bermakna kerjayanya sebagai guru telah gagal. Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-muridnya berhenti sekolah. Jika tidak ada murid, dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, maka Negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Fatin mula disapa penyesalan. Dia mula insaf tindakannya terhadap Hassan  keterlaluan. Selama ini, walaupun dimarahi beberapa kali, Hassan tetap akan datang ke sekolah.

Petang itu, Cikgu Fatin mengambil keputusan untuk pergi kerumah Hassan dengan panduan murid-murid lain. Cikgu Fatin melalui denai-denai sempit dengan motosikalnya hingga ke hujung kampung.

“ Jauh juga rumah Hassan” bisik hati kecil Cikgu Fatin. Dia mula membayangkan betapa sukarnya Hassan ke sekolah setiap hari, berjalan tanpa kasut dalam semak seperti itu. Batu kerikil di sepanjang jalan sudah tentu menyakitkan kaki anak kecil seperti Hassan. Pohon semalu yang berduri memenuhi jalan sudah pasti memeritkan tapak kaki kecil milik Hassan.

Sebaik sampai di sebuah rumah yang tidak ada penghuni dilihat oleh Cikgu Fatin didalam rumah yang layak disebut pondok itu. Cikgu Fatin memandang sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah Hassan seperti yang diberitahu oleh anak muridnya yang lain.

“Assalamualaikum,, Hassan,,”Cikgu Fatin memberi salam. Suasana sunyi kembali. Tiba-tiba muncul seorang wanita separuh umur dari belakang rumah, terhinggut-hinggut dan uzur benar.

“Hassan tak ada, dia ke kebun sayur mengambil upah petik cili. Sebentar lagi dia balik.”kata wanita tersebut.

“Cik ni siapa?”tambahnya kemudian.

“Saya Cikgu Fatin” riak wajah wanita tersebut terus berubah mendengar jawapan itu.

“ Jemputlah naik.”pelawa wanita itu. Cikgu Fatin dapat meneka bahawa wanita itu adalah nenek Hassan.

“Tak apalah! Saya nak jumpa Hassan,”balas Cikgu Fatin

Tidak lama kemudian, Cikgu Fatin terpandang kelibat seorang budak lelaki berjalan di celah-celah semak di belakang rumah. Pergerakan budak itu tidak lancar. Cikgu Fatin hanya menanti dengan sedikit debaran di dada.

“Hassan !”sapa Cikgu Fatin apabila budak itu hampir dengannya. Hassan seperti terkejut dengan sapaan dan kehadiran Cikgu Fatin. Dia terus membatukan diri. Cikgu Fatin memerhatikan Hassan dari atas ke bawah. Pandangannya terlekat pada kaki comot budak lurus itu.

“Kenapa kamu tak buka kelopak jantung ini?”Tanya Cikgu Fatin pantas. Perasaannya mula tersentuh. Dia tidak menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak murid yang selalu mengganggu perhatiannya itu.

“ Saya belum cukup duit untuk membeli kasut baru,”jawab Hassan terkebil-kebil. Jemari halus kelihatan kemerah-merahan, barangkali bekas keperitan bekerja memetik cili api di kebun sayur berdekatan.

Air mata Cikgu Fatin gugur tanpa disedari. Dia terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dia melalui denai-denai sempit menuju ke arah  pekan berdekatan. Di pekan itu, dia membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut.
Kemudian, Cikgu Fatin bergegas pulang. Dia terus ke hujung kampung. Dia menyerahkan beg plastik berisi pakaian sekolah itu kepada Hassan. Hassan tetap dengan caranya berhadapan dengan guru darjahnya itu, diam dan terkebil-kebil.

“ Hassan, esok pergi sekolah. Pakai uniform baru ni,”kata Cikgu Fatin. Hassan menyambut pemberian Cikgu Fatin dengan tangannya terketar-ketar.

“ Terima kasih cikgu.”kata Hassan ketika Cikgu Fatin membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai hancur dikakinya.

Cikgu Fatin memeluk Hassan yang sudah dianggap seperti anak sendiri.  Airmatanya menitis tatkala teringat cerita nenek Hassan. Rupa-rupanya Hassan sudah tidak mempunyai ibubapa kerana ibubapanya ditemui lemas ketika ingin menangkap ikan di laut. Perahunya hancur dilambung ombak dan ibubapa Hassan hilang dan ditemui terapung di celah-celah pokok bakau tidak jauh dari tempat dia menangkap ikan.  Terasa sayu hatinya melihat kekuatan Hassan menempuh dugaan hidup tanpa sebarang rungutan.

Kini, Cikgu Fatin telah bersara daripada menjadi pendidik. Dia pernah mendapat khabar beberapa tahun lalu, Hassan menjadi peniaga di pasar malam. Hassan menjual pakaian dan berbagai-bagai jenis kasut. Namun begitu, dia tidak pernah menemui anak muridnya itu. Anak murid yang menjadikan Cikgu Fatin seorang guru yang penyayang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cikgu Fatin tidak membeli kasut lagi. Dia sering menerima hadiah kasut-kasut mahal dan berjenama daripada bekas muridnya yang pernah dipakaikan kasut kelopak jantung. Setiap kali sempena Hari Guru dia mendapat sepasang kasut baru. Dalam setiap bungkusan Hassan sering menyatakan keikhlasannya mengenang jasa guru yang menjadikannya seorang insan yang berjaya. Dia telah memegang jawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di Bandar. Katanya, kasut kelopak jantung benar-benar menyedarkannya betapa pentingnya kasut kepada manusia

Diadaptasi daripada buku KASUT KELOPAK JANTUNG oleh Ghazali Lateh (EDISI MURID)
p/s SELAMAT HARI GURU !! TERIMA KASIH KERANA MENGAJARKU HINGGA BERJAYA KINI..  JASAMU DIKENANG !! :))

No comments:

Post a Comment